Kuala Lumpur: Polis mengesahkan menerima laporan daripada pemain beregu campuran negara, Lai Pei Jing yang ditipu sindiket pelaburan semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian sedang dijalankan.
“Laporan kejadian dibuat di Seri Kembangan, Selangor dan kita sedang menjalankan siasatan lanjut kerana ia melibatkan sindiket penipuan pelaburan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Pei Jing berkongsi kejadian menimpanya itu di Instagram, malam tadi dan berharap semua pihak memberikan dia ruang untuk bertenang.
“Saya ditipu, hampir semua simpanan saya oleh sindiket penipuan. Sejujurnya, ini adalah tamparan hebat kerana ia adalah simpanan hasil kerja keras saya sejak bertahun-tahun,” katanya.